GEORGE TOWN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk mencederakan ibunya dengan menggunakan rotan minggu lepas.

Tertuduh Poh Lee Aik, 45, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim, dua pertuduhan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin dan satu pertuduhan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi .

Di Mahkamah Sesyen, Poh didakwa dengan sengaja mendatangkan keederaan terhadap ibunya yang berusia 69 tahun dengan cara memukul di badan dan kepala menggunakan rotan berulang kali, di sebuah rumah di Taman Lembah Hijau, Lorong Gangsa pada pukul 7 malam, 13 Feb lepas.

Dia dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman itu serta boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia merupakan kesalahan yang serius selain tertuduh tinggal sebumbung dengan mangsa.

Poh yang tidak diwakili peguam, kemudian merayu agar dibenar diikat jamin atas alasan perlu mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Kesihatan kerana menghidap penyakit darah tinggi selain perlu menanggung dua orang anak masih bersekolah di bawah jagaan bekas isterinya.

Mohammad Khalid bagaimanapun tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 19 Mac akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga , Poh didakwa di Mahkamah Majistret iaitu sengaja melakukan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap ibunya dan sengaja mendatangkan cedera terhadap mangsa dengan cara memukul di badan dan kepalanya menggunakan tangan berulang kali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Poh didakwa atas satu pertuduhan memberi dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri pada pukul 6 pagi, 14 Feb lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen(15)(1) akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali serta menjalani perintah pengawasan bagi tempoh sehingga tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menetapkan 24 April depan untuk laporan patalogi dan membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

-- BERNAMA