KOTA BHARU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan rondaan di pangkalan haram Abe Yie Parking, Rantau Panjang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada 4.15 pagi itu, dua lelaki yang identiti belum dikenal pasti dikesan berada di tebing Sungai Golok berhampiran 'concertina wire' yang telah dirosakkan di pangkalan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata sebaik menyedari kehadiran anggota bertugas, kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri dan terjun ke dalam Sungai Golok.
“Seorang daripada lelaki berkenaan sempat berpaut pada tali sebelum diselamatkan seorang pemandu bot dari Thailand yang kemudian membawanya ke tebing sungai sebelah Thailand. Seorang lagi hilang dipercayai hanyut dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jarak antara anggota bertugas dengan kedua-dua lelaki itu ketika kejadian dianggarkan lima meter.
Kejadian itu telah dimaklumkan kepada Pegawai Strike Force Kompeni C Batalion 8 PGA pada 4.32 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA