KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai dalang kepada pembikinan dua video judi raya secara dalam talian yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, lelaki berusia 35 tahun itu dikehendaki kerana terlibat dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.

"Kita ada maklumat seorang lelaki bernama Loh Kee Hoe berumur 35 tahun. Kita percaya mungkin individu ini adalah penganjur yang boleh nanti membantu siasatan kes kita.

"Mengikut maklumat tangkapan kita, suspek adalah individu yang mengarahkan untuk pembikinan video berkenaan. Suspek yang mencari ejen dan juga pihak produksi,” katanya," katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, seorang lagi suspek ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung video pertama judi raya yang tular pada Jumaat.

Manakala dua daripada lapan individu yang ditahan sebelum ini akan direman sehingga 21 April depan.

"Daripada lapan (individu) kita tahan, dua orang kita reman 17 sehingga 21 April depan, manakala enam orang lagi kita tidak dapat tahan reman kerana ditolak oleh Majistret.

"Mereka ini hanyalah pelakon, mereka berikan kerjasama dan peguam mereka berjanji untuk beri kerjasama apabila diperlukan," katanya lagi.

Dua individu itu, tambah Mohamad Zainal, ialah penerbit dan jurukamera yang dipercayai terlibat dalam pembikinan video pertama judi raya yang tular sejak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

BACA: Lagi iklan judi raya dikesan tular

BACA: Iklan judi raya: Pelakon akui silap, patut ambil tahu isi kandungan penggambaran


Iklan Hari Raya | Lapan individu ditahan terlibat iklan promosi judi