Seorang penganggur ditahan polis awal Rabu, dalam tempoh kurang 24 jam selepas dia dipercayai memukul hingga mati isterinya yang baru bersalin.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamed berkata suspek ditahan pada pukul 2.45 pagi di kawasan awam di Yong Peng, hampir 100km dari kediaman mereka di sebuah rumah kedai di Jalan Meranti, Taman Sri Pulai, dekat sini.

"Suspek kini ditahan reman dan kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata beliau dalam satu kenyataan Rabu.

Mangsa, M. Sila, 27, ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri di atas lantai rumah kedai tersebut pada 6.40 pagi semalam.

Wanita itu dilaporkan meninggal dunia kerana kecederaan kepala sebaik tiba di Hospital Sultanah Aminah di sini.