KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar dilaporkan maut akibat dipukul beberapa individu di Sungai Chalit, Sungai Ruan di Raub, Selasa lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu, daripada seorang lelaki wakil daripada pertubuhan etnik Myanmar (MEO), sekitar 6.48 petang pada Rabu.

Beliau berkata lelaki berkenaan mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada abang mangsa, yang memaklumkan adiknya telah dipukul oleh beberapa lelaki di lokasi kejadian, sehingga menyebabkan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raub, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 8.56 malam (Selasa/22 Ogos).

"Pemeriksaan awal pegawai perubatan hospital berkenaan, mengesahkan mangsa berusia 32 tahun telah meninggal dunia berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

"Sehubungan itu, sepasukan polis telah menjalankan risikan dan telah menahan tujuh lelaki tempatan antara 22 dan 42 tahun semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu, boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

-- BERNAMA