PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm mengesahkan seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia ditahan di Norway kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengintipan.

Menurut kementerian itu pada Selasa, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya sekiranya diperlukan,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Pada Isnin, media tempatan Norway melaporkan, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 25 tahun ditahan oleh Perkhidmatan Perisikan Norway (PST) selepas disyaki mengintip di pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan pejabat kerajaan lain di Oslo.

Memetik laporan agensi berita NRK, pegawai pendakwa polis di PST Thomas Fredrik Blom memaklumkan bahawa suspek ditahan sekurang-kurangnya empat minggu ketika siasatan berjalan, dengan dua minggu pertama ditempatkan dalam sel berasingan.

Menurut polis, lelaki itu ditahan pada 8 September selepas kereta yang disewanya dikesan menerusi kamera pengawasan di keliling pejabat kerajaan.

Suspek dituduh cuba mengintip isyarat elektronik dari premis pejabat termasuk perbualan telefon, mesej dan emel.

Suspek dilaporkan seorang pelajar, namun didapati tidak berdaftar di institusi pendidikan Norway dan hanya berada di negara itu untuk tempoh yang singkat.