Seorang lelaki yang disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan hingga terpaksa menjalani pembedahan tengkorak kepala akibat pendarahan dalaman berjaya ditahan pihak polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Assisten Komissioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 36 dan bekerja sebagai buruh berjaya ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sibu diketuai oleh ASP Irwan Hafiz, pada jam 10.30 pagi tadi.

Menurut nenek mangsa, ketika kejadian, dia baru pulang ke rumah selepas bermalam di hospital untuk menjaga kakaknya di wad dan dia mendapati cucunya dalam keadaan lemah dan terdapat kesan merah yang semakin membengkak pada dahi cucu beliau pada pagi Selasa lalu.

"Bayi itu terus dikejarkan ke hospital oleh neneknya dan mangsa terus dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan pada jam 12.35 tengah hari itu.

"Pihak hospital mendapati terdapat unsur penderaan pada bayi malang itu dan pengadu dinasihat untuk membuat laporan polis pada jam 2.12 petang Khamis lalu.

"Pembedahan di tengkorak kepala mangsa dijalankan selepas pihak hospital melakukan pemeriksaan menerusi CT Scan mendapati terdapat pendarahan dalam otak," kata Stanley dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Siasatan awal polis katanya, mangsa adalah anak tidak sah taraf kepada suspek dan anak perempuan pengadu yang kini bekerja sebagai pelayan restoran di Kuala Lumpur.

Pada malam kejadian, suspek datang ke rumah pengadu untuk menjaga mangsa di dalam bilik tidur di tingkat bawah.

"Kali terakhir mangsa dilihat dalam keadaan baik oleh anak lelaki pengadu berusia 20 tahun ialah ketika dia memberi mangsa minum susu pada jam 4 pagi itu.

"Namun suspek dilihat bersama mangsa di hadapan ruang tamu sebelum bergegas pulang ke rumah kongsi pekerja tidak jauh dari situ," tambahnya.

Jelasnya lanjut, anak lelaki pengadu kemudian perasan apabila mendapati ada kesan merah dan biru di dahi mangsa selepas suspek keluar dari rumah pengadu lebih kurang jam 7 pagi itu.

Menurut Stanley, mangsa kini ditempat di wad ICU Kanak-Kanak, Hospital Sibu dalam keadaan stabil tetapi masih dalam keadaan tidak sedar (bius) selepas menjalani pembedahan.

Beliau berkata suspek akan direman dan kes tersebut kini dalam siasatan polis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.