KUALA LUMPUR: Lelaki yang ditahan semalam kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar melalui media sosial, direman empat hari bermula hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata suspek yang berusia 35 tahun itu, direman hingga Jumaat ini selepas permohonan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, polis menahan lelaki terbabit di sebuah rumah di Puchong, Selangor dan merampas satu telefon bimbit jenama Samsung serta sekeping kad sim jenama redONE.

Noorsiah dalam kenyataannya semalam berkata, lelaki terbabit dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook 'Indera Mulia' pada Khamis lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

-- BERNAMA