Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu, ditemui mati selepas dia dipercayai terjun dari tingkat satu bangunan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 56 tahun itu yang ditahan malam tadi di Kuantan, Pahang mengenai satu laporan polis di Butterworth berkaitan kes tipu, ditemui mati dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu.

"Lelaki yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu ditahan di Kuantan malam tadi sebelum dibawa balik ke IPD SPU dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika pegawai penyiasat sedang mengambil keterangan lelaki berkenaan. Lelaki yang bergari dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau itu secara tiba-tiba merempuh pintu bilik serta berlari keluar sebelum dia terjun, katanya.

Lelaki berkenaan yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian, katanya.

"Saya telah melawat tempat kejadian dan setakat ini kami dapati pegawai penyiasat serta pengawal pengiring yang bertugas ketika itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," kata Abdul Rahim.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya akan menyiasat kejadian itu secara terperinci dan jika terdapat unsur kecuaian, tindakan tegas akan diambil.