SEREMBAN: Mayat seorang lelaki ditemukan terbaring di atas jalan raya yang berhadapan dengan sebuah rumah di Jalan Temiang di sini selepas mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 7.17 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 46 tahun itu dipercayai bertelingkah dengan suspek, yang juga pemilik sebuah parkir kenderaan, selepas bertindak meletakkan keretanya di situ.

"Mangsa dipercayai ke rumah majikannya yang terletak di sebelah rumah suspek, seorang lelaki warga Myanmar.

"Difahamkan isu melibatkan parkir itu sudah lama berlaku.

"Dan pada hari ini, suspek turut meletakkan tanda 'dilarang parkir' menggunakan cat di atas jalan raya di hadapan rumahnya.

"Lelaki itu kemudian tidak berpuas hati serta memprovok suspek dan berlaku sedikit pergaduhan antara mereka yang tidak berapa teruk.

"Selepas keadaan reda, mangsa jatuh lalu tidak sedarkan diri," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Mohd Said berkata susulan itu, suspek yang berusia 21 tahun dan mengaku terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat.

-- BERNAMA