MALAYSIA
Lelaki hilang cari sayur dalam hutan ditemukan meninggal dunia

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian. - Gambar fail/Astro AWANI
SIBU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari sayur hutan berhampiran Terminal Bas Baru Miri, di sini, Sabtu lalu, ditemukan meninggal dunia petang tadi.
Mangsa, Upil Lutan, 44, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.34 petang dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Miri," katanya dalam kenyataan hari ini.Menurutnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang susulan penemuan mayat mangsa.
Katanya panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada pukul 2 petang, Sabtu, selepas mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar mencari sayur hutan di kawasan terbabit.
"Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan dan operasi SAR dimulakan pada pukul 9.20 pagi keesokan harinya.
"Pencarian melibatkan empat kumpulan yang melakukan pencarian dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, namun gagal menemukan mangsa pada hari pertama dan operasi disambung hari ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami