Skip to main content

Malaysia

Lelaki hilang ditemukan meninggal dunia di hutan Taman Perling

JBPM
Seorang lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling hari ini.
Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling di sini hari ini.

Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa Tay Aun Yen ditemukan berhampiran sebatang pokok oleh pasukan penyelamat.

Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.28 pagi tadi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin digerakkan ke lokasi kejadian bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setibanya di lokasi, pasukan mengesahkan kes kehilangan itu berdasarkan maklumat awal Polis Diraja Malaysia. Bagaimanapun, operasi pencarian pada waktu malam terpaksa ditangguhkan berikutan faktor pencahayaan yang terhad dan keadaan persekitaran yang tidak selamat.

“Operasi pencarian kemudiannya dikoordinasikan dengan pembentukan dua pasukan terdiri daripada enam anggota bomba dan empat anggota polis,” menurut PGO JBPM Johor.

Kenyataan itu memaklumkan pasukan SAR berjaya menemukan mayat mangsa bersama sebuah kenderaan Volvo XC40 miliknya berhampiran kawasan itu, dengan jarak penemuan mayat dianggarkan kira-kira 30 meter dari kenderaan berkenaan.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.08 pagi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement