MELAKA: Seorang lelaki berusia 45 tahun yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Melaka berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit di sini semalam, ditemukan lemas pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata mayat mangsa ditemukan oleh pihak polis pada 9 pagi ini di kawasan Jambatan Taman Rumpun Bahagia, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
"Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kemudian menjalankan operasi membawa naik mangsa ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata JBPM Melaka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.03 tengah malam tadi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama bantuan BBP Masjid Tanah digerakkan ke lokasi.
Katanya setiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran.
Mohd Hafidzatullah berkata berdasarkan maklumat awal di lokasi, mangsa dipercayai tinggal di pondok berhampiran tebing Sungai Melaka.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air serta penyelaman oleh anggota PPDA di sekitar Sungai Melaka hingga kawasan muara, namun mangsa tidak ditemukan pada hari pertama.
"Operasi kemudiannya ditangguhkan pada waktu malam atas faktor keselamatan dan keadaan persekitaran yang tidak mengizinkan sebelum disambung semula pagi ini," katanya.
Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan 15 anggota JBPM dengan bantuan sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga anggota Pasukan Polis Marin.
-- BERNAMA