ANGGAPAN bahawa gangguan seksual hanya berlaku pada kaum wanita harus diubah kerana gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, umur serta jantina. Pada bulan Februari 2019 yang lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh ada mendedahkan bahawa kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan bahawa dari tahun 2013 hingga 2017 terdapat seramai 257 lelaki dilaporkan telah menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual yang dilaporkan.

BACA: Masalah gangguan seksual perlu dipandang serius

BACA: Beban bukti gangguan seksual turut dikaji - Hannah Yeoh

Masyarakat perlu mengubah persepsi mereka bahawa masalah gangguan seksual hanya boleh melibatkan mangsa kaum wanita sahaja. Golongan lelaki juga boleh menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Persepsi yang hanya menyatakan bahawa masalah gangguan seksual tidak mungkin boleh terjadi kepada kaum lelaki berlaku kerana masyarakat kita masih beranggapan bahawa golongan lelaki adalah kuat dari segi fizikal, emosi dan mental dalam menghadapi segala masalah berbanding dengan kaum wanita. Akibat daripada persepsi ini, ramai daripada mangsa golongan lelaki berasa malu untuk membuat laporan gangguan seksual yang berlaku terhadap diri mereka. Banyak kajian telah dilakukan di serata dunia yang menunjukkan bahawa gangguan seksual di tempat kerja yang melibatkan mangsa kaum lelaki kian meningkat dari tahun ke tahun.

Masalah gangguan seksual ini perlu diberi perhatian yang serius dari semua pihak tanpa memandang kepada jantina atau gender mangsa yang terlibat kerana implikasinya terhadap diri dan masa depan mangsa terbabit. Kebanyakan mangsa gangguan seksual di tempat kerja akan berasa lemah dari segi emosi dan mental serta kurang keyakinan diri setelah menjadi mangsa gangguan seksual terutamanya jika gangguan seksual terbabit datang daripada mereka yang mempunyai kuasa di tempat kerja seperti pihak majikan, pengurusan, ataupun pensyarah.

BACA: Senator cadang wujudkan akta gangguan seksual untuk lelaki

BACA: Cadangan Senator PKR menghina wanita - Anwar

BACA: Akta lindungi lelaki: Senator PKR mohon maaf, tarik balik cadangan

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual dalam negara kita. Hanya terdapat beberapa jenis peruntukkan undang – undang yang terdapat di Malaysia yang digunapakai untuk mengatasi masalah gangguan seksual seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Kerja 1955 [Akta 265] serta Kanun Keseksaan [Akta 574].

Pada tahun 1999, pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melancarkan “Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja”. Berdasarkan Kod Amalan tersebut, gangguan seksual di tempat kerja dibahagikan kepada dua katagori iaitu gangguan secara langsung dan gangguan secara tidak langsung. Gangguan secara langsung bermaksud dengan mengenakan sebarang jenis syarat yang berbentuk seksual ke atas pekerjaan seseorang pekerja itu atau istilahnya quid pro quo. Quid pro quo berlaku apabila mangsa diminta supaya akur dengan tingkah laku gangguan seksual untuk mendapatkan sebarang jenis ganjaran seperti kenaikan pangkat atau bagi mengelakkan diri mangsa daripada mendapat ancaman yang lebih teruk di tempat kerja. Gangguan seksual jenis ini selalunya berlaku di tempat kerja di mana ia melibatkan pengaruh kuasa pihak majikan atau pegawai atasan yang mempunyai kuasa untuk mengambil dan memberhentikan pekerja. Jika pekerja itu tunduk kepada kehendak seksual majikannya, dia akan dinaikkan pangkat atau menerima gaji yang lebih lumayan. Walaubagaimanapun sekiranya pekerja tersebut menolak kehendak seksual majikannya, dia akan kekal dengan kedudukan yang ada sampai bila – bila masa atau dibuang terus dari kerja.

BACA: Lelaki sejati adalah lelaki yang mampu menahan diri daripada godaan

Gangguan seksual secara tidak langsung pula merupakan perlakuan yang dilakukan sama ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi ataupun fizikal. Contoh – contoh perlakuan gangguan seksual secara tidak langsung adalah seperti kata – kata lucah, perbuatan menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, menunjukkan bahan – bahan lucah, melukis gambar lucah, mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak dan melakukan sentuhan yang tidak diingini seperti menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium dan meraba. Gangguan seksual jenis ini boleh dilakukan oleh pihak majikan, rakan sekerja ataupun pelanggan. Pada masa ini terdapat beberapa usaha bagi meminta pihak kerajaan memperkenalkan akta khusus bagi atasi masalah gangguan seksual dalam negara kita agar masalah berkenaan dapat diselesai mengikut peruntukan undang – undang yang lebih jelas dan berkesan tanpa menggunakan atau menumpang kepada akta – akta sedia ada yang lain seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Kerja 1955 [Akta 265] serta Kanun Keseksaan [Akta 574]. Mangsa gangguan seksual hendaklah mempertahankan hak mereka sekiranya mereka manjadi mangsa gangguan seksual. Pihak mangsa sama ada mangsa lelaki ataupun wanita tidak seharusnya berdiam diri serta biarkan masalah terbabit berlalu tanpa tindakan diambil terhadap diri pelaku bagi mengelakkan masalah gangguan seksual berkenaan berterusan berlaku terhadap diri mereka serta orang lain.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.