Seorang lelaki warga Kemboja yang enggan turun dari pokok cengal setinggi 45 meter sejak Khamis lepas di Kampung Sungai Pinang, dekat sini, akhirnya ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Idris Abd Rafar berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan polis sejurus turun sendiri dari pokok itu pada 8.30 malam tadi dan dibawa ke lokap untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan Akta Imigresen," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menurutnya pendatang asing tanpa izin (PATI) itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, pelbagai cara digunakan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan polis untuk menyelamatkan lelaki itu tetapi gagal.

BACA: Elak dicekup, pendatang Kemboja enggan turun pokok dua hari

BACA: Warga Kemboja enggan turun pokok: Polis ambil pendekatan tunggu dan lihat