KEMAMAN: Tindakan seorang lelaki melakukan aksi berbahaya di atas bumbung sebuah bangunan di bandar Chukai, di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata tindakan yang dilakukan oleh lelaki itu semata-mata untuk meraih perhatian dan tontonan pengikutnya di media sosial.

Menurut Hanyan, rakaman aksi lelaki berkenaan di sebuah bangunan enam tingkat dalam keadaan berbahaya tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat merakam aksi berkenaan.

"Kita telah mengambil tindakan hari ini menahan satu lelaki Melayu berusia 20 tahun di bandar Chukai di bawah Seksyen 290 dan juga Seksyen 309 iaitu cubaan membunuh diri dan juga kesalahan mendatangkan kemudaratan kepada orang awam," kata Hanyan.

Hanyan berkata suspek ditahan reman bermula Isnin untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang 'content' berbahaya untuk dimuat naik ke media sosial demi meraih perhatian pengikut atau peminat.