MALAYSIA
Lelaki maut ditikam baru dua minggu bertunang

Jenazah Allahyarham Muhammad Amirul Rasyid dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang. Gambar kecil: Muhammad Amirul Hakim
SEREMBAN: Lelaki yang maut ditikam dalam kejadian di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi di sini pada Isnin, baru dua minggu bertunang dan merancang melangsungkan perkahwinan tahun ini.
Ringkasan AI
- Muhammad Amirul Rasyid, 28, maut ditikam di dada oleh seorang lelaki berusia 31 tahun di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, Senawang, pada 11 Ogos 2025.
- Allahyarham baru dua minggu bertunang dan merancang membeli barang hantaran pada malam kejadian, serta baru pulang membawa anak tunggalnya berjalan-jalan.
- Suspek ditahan oleh penduduk setempat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan motif kejadian masih dalam siasatan.
Menurut adik mangsa, Muhammad Amirul Hakim, 27, ketika kejadian, dia sedang berbual dengan Allahyarham di luar rumah, namun secara tiba-tiba sebuah kereta berhenti tidak jauh dari situ.
“Saya ingatkan itu kawan abang saya. Tapi seorang lelaki turun dari kereta, terus datang ke arah kami, dan tanpa berkata apa-apa, menikam abang saya pada bahagian dada.
“Saya terus menjerit dan memegang suspek supaya dia tidak melarikan diri sambil memangku abang yang berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Pagi pada Selasa.
Menurutnya, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan penduduk yang kemudian mengikatnya dengan tali.
Ujarnya, selepas ditikam, Allahyarham masih bernyawa dan hanya menyebut perkataan “ALLAH”.
“Darah terlampau banyak dan emak yang melihat keadaan abang terus pitam.
“Ketika kejadian, 10 lagi adik-beradik saya ada di rumah. Apa yang berlaku sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana ia berlaku secara tiba-tiba,” katanya.
Jelasnya, Allahyarham baru beberapa minit pulang ke rumah selepas membawa anak tunggalnya berjalan-jalan.
Katanya, sejak berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu, anak Allahyarham dijaga oleh keluarga.
“Arwah bekerja di kedai makan dan tinggal di asrama pekerja di Taman Lavender Height, Senawang.
“Dia baru dua minggu bertunang dan merancang berkahwin tahun ini. Malam tadi sepatutnya dia pergi membeli barang hantaran perkahwinan,” katanya.
Selain itu, Muhammad Amirul Hakim berkata, dia dan keluarga tidak mengenali suspek serta tidak pasti punca kejadian.
"Setahu saya arwah tidak mempunyai musuh. Saya memang rapat dengan arwah dan biasanya jika ke mana-mana kami akan pergi bersama,” katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham tiba di Surau Taman Sri Pagi untuk disembahyangkan pada jam 2.48 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Forest Height.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham di antara suspek dan mangsa.
“Suspek dikatakan menikam dada mangsa menggunakan pisau sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar yang datang ke lokasi mengesahkan kematian mangsa pada jam 7.28 malam,” katanya.
Tambahnya, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam, manakala sebilah pisau yang digunakan turut dirampas.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 18 Ogos ini.
“Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan,” katanya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami