KUALA SELANGOR: Seorang lelaki tidak sempat berbuka puasa apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, petang Selasa.

Kejadian jam 6.15 petang itu melibatkan mangsa berusia 20 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati penunggang itu dalam perjalanan dari Kampung Bukit Kuching menghala ke Pasir Penambang.

"Mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lalu hilang kawalan dan terbabas menyebabkannya terjatuh berdekatan sebuah treler yang melalui laluan sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ramli berkata, penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu dilanggar kenderaan berat berkenaan.

Ujar beliau, kemalangan itu menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ramli, kejadian berlaku sewaktu cuaca hujan selain jalan berkenaan sesak dan basah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian