TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut akibat terkena serangan jantung ketika memandu dan menyebabkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kuil Hindu di Jalan Kampung Lambak, di sini pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, susulan kemalangan itu, mangsa Lok Ming Choy, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya lagi, kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya remuk di bahagian hadapan selain cermin hadapan retak.

"Pada jam 8.40 pagi, pihak kami telah menerima maklumat dari orang awam memaklumkan telah berlaku satu kemalangan di Kuil Hindu Jalan Kampung Lambak melibatkan sebuah kereta terbabas sendiri.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dari arah Kampung Lambak menghala ke pekan Tanjung Malim.

"Sampai di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan merempuh tembok kuil.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya kepada pemberita malam tadi.

Tambahnya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa maut disebabkan serangan jantung.

Katanya lagi, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.