Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum tersangkut pada sebatang pokok dalam kemalangan berhampiran bulatan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Selasa, mangsa Andy Mahaga Sipawi, 23, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandunya.

Mayatnya dibawa keluar anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru sahaja keluar dari rumah di kawasan bandar raya menuju ke Jalan UMS sebelum terlibat dengan kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam kenyataan medianya hari ini berkata siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tempat kejadian.

"Kemalangan berlaku apabila mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Jalan UMS.

"Apabila mangsa tiba di tempat kejadian, tidak semena-mena keretanya hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok. Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dalam keadaan melulu sehingga mengakibatkan kematian.

Habibi dalam pada itu menasihatkan pengguna jalan raya untuk mengutamakan aspek keselamatan terutamanya pada musim perayaan ini.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu di beberapa laluan di daerah Kota Kinabalu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan pada musim perayaan.

"Kajian menunjukkan kes kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan laju sehingga membahayakan meragut nyawa sendiri dan pengguna lain," katanya.