HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga emas yang mengetuai pelajar Tingkatan Enam ketika melakukan aktiviti pendakian meninggal dunia di Hutan Simpan Ulu Tamu Batang Kali di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah hari.
"Susulan itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jarak 22 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ashrul Riezal berkata, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun ditemui pengsan ketika mengetuai pelajar Tingkatan Enam melakukan aktiviti pendakian.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerja membawa turun mangsa dilakukan oleh anggota bomba," katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian