PORT DICKSON: Persiapan sambutan tahun baharu sebuah hotel terkenal di sini bertukar tragedi selepas seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera terkena letupan bunga api pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa masing-masing berusia 40 tahun dan 39 tahun sedang memasang bunga api untuk pertunjukan ambang tahun baharu 2024 di hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kenderaan hotel berkenaan.

"Semasa kejadian hanya terdapat pekerja yang ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baharu 2024.

"Ekoran daripada kejadian tersebut, seorang lelaki tempatan telah meninggal dunia manakala seorang lagi telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan bahan bunga api yang meletup," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, orang awam diminta tidak tularkan kejadian berlaku kerana boleh mengganggu siasatan pihak polis bagi mengetahui punca kejadian.

Tambahnya, kedua-dua mangsa bukan pekerja hotel berkenaan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut

Sementara itu, menerusi aplikasi X, ahli keluarga mangsa meminta orang awam agar tidak menyebarkan gambar mangsa.

"Minta maaf, saya keluarga kepada arwah. Minta tolong padam video dan gambar ini. Ini semua aib pada si arwah. Minta jasa baik," tulisnya.

Malah video kejadian itu juga turut tular yang memaparkan bunga api tersebut secara tiba-tiba meletup dan beberapa orang kakitangan hotel dilihat berlari menyelamatkan diri. - Sinar Harian