SRI AMAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya terselamat selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja pendawaian di sebuah rumah di Jalan Rindan, Kampung Skim Melugu, di sini, pada Jumaat.

Mangsa dikenal pasti sebagai Vallarie Dempi Maling dan isterinya Ronie Gelagan masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, kedua-dua ditemukan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pihak bomba terpaksa menunggu Syarikat Sesco Berhad (Sesco) untuk memutuskan aliran elektrik di kawasan rumah tersebut.

Sementara menunggu pihak Sesco tiba, pasukan Bomba bertindak mengalihkan kabel elektrik yang berdekatan dengan mangsa menggunakan sebatang kayu.

Vallarie Dempi Maling disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala isterinya yang telah sedar tetapi masih dalam keadaan lemah dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang.

Kedua-dua mangsa dikatakan melakukan kerja pendawaian elektrik di rumah berkenaan sebelum rebah terkena renjatan elektrik.