BUTTERWORTH: Walaupun dipandang serong segelintir masyarakat kerana memelihara anjing namun, seorang lelaki di Permatang Tok Jaya, di sini, mempunyai sebab tersendiri untuk memelihara haiwan berkenaan.

Abdul Rani Aziz, 50, mendakwa dia memelihara anjing bukan sekadar suka-suka tetapi untuk menjaga keselamatan berikutan udang kara dan ikan laga yang dipelihara sebelum ini sering hilang dipercayai dicuri.

Sebelum ini dia memelihara anjing jenis Rottweiler sebelum menyerahkannya kepada orang lain dan kini memiliki anjing keenam jenis Doberman dari Amerika Syarikat yang biasa diguna oleh polis Unit K9 dalam pencegahan jenayah.

"Saya cuba untuk menghilangkan anggapan segelintir masyarakat Melayu yang menganggap orang yang bela anjing ni adalah macam kurang elok.

"Tetapi saya bukan bela suka-suka kita, saya bela untuk menjaga keselamatan harta benda dan pelbagai kes jenayah lain.

"Anjing ini memang diguna oleh polis Unit K9, iaitu spesis Doberman dari Amerika Syarikat," katanya.

Anjing peliharaan Abdul Rani yang diberi nama Thunder mempunyai kemahiran asas dan mampu mengikut arahan seperti duduk, berhenti, salam, hanya makan selepas kiraan tujuh, undur dan membantu apabila terdengar jeritan meminta tolong.

Malah, kemampuannya melatih anjing berusia dua tahun mengejutkan beberapa rakan bukan Islam.

Dia juga sedia melatih anjing jika ada pihak berminat namun, keutamaan diberi kepada anak anjing berusia kurang setahun kerana lebih mudah dilatih.

"Saya boleh bantu latih sekiranya anjing berkenaan masih kecil dan bukan anjing dewasa kerana anjing dewasa ini bersifat agresif," jelasnya.

Menurut Abdul Rani, bagi menjaga kebersihan selepas melatih anjing, dia menyamak tangan dengan menggunakan sabun khas dan menukar pakaian apabila pergi ke sesuatu tempat.