ALOR SETAR: Seorang lelaki melecur kira-kira 30 peratus manakala 27 kucing miliknya mati dalam kebakaran rumah di Kampung Padang Gaong, Langkawi pagi tadi.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata mereka menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 8.47 pagi melibatkan sebuah rumah setingkat.
Advertisement
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 55 peratus ruang tamu rumah dan menyebabkan lelaki berusia 40-an melecur pada muka serta dada.
“Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamri berkata maklumat awal daripada mangsa mengatakan terdapat 30 kucing ditempatkan dalam sangkar di rumah itu, namun hanya tiga berjaya diselamatkan.
Beliau berkata operasi melibatkan 17 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan BBP Padang Mat Sirat ditamatkan pada 10.52 pagi.
-- BERNAMA