Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan Datuk Seri Mohamad Sabu menyerahkan gaji menteri untuk membiayai usaha mekanisme tahanan rumah.
- Zahid mencadangkan agar elaun Mohamad Sabu turut disumbangkan jika benar-benar ingin membantu inisiatif tersebut.
- Mohamad Sabu menegaskan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa diskriminasi atau layanan berbeza terhadap banduan.
AYER KEROH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyerahkan gaji menterinya bagi membiayai usaha memperjuangkan mekanisme tahanan rumah.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, cadangan itu turut wajar merangkumi elaun yang diterima Mohamad sekiranya hasrat berkenaan benar-benar bertujuan membantu usaha tersebut.
“Bagus. Itu cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji, tetapi elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya.
Cadangan Mohamad itu bertujuan membantu membiayai organisasi masyarakat sivil (CSO) yang memperjuangkan mekanisme tahanan rumah bagi membolehkan banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara sebelum dipindahkan ke tahanan rumah.
Pada Rabu, Mohamad menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi menyokong usaha berkenaan, namun tidak termasuk elaun berjumlah RM11,900.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip keadilan perlu ditegakkan tanpa diskriminasi, keistimewaan terpilih atau layanan berbeza terhadap mana-mana banduan.