Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Ahmad Zahid mahu kempen kekal aman hingga hari mengundi

Ahmad Zahid bercakap kepada media selepas menghadiri Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),pada Rabu. - Foto Astro AWANI
Ahmad Zahid bercakap kepada media selepas menghadiri Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),pada Rabu. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional berharap suasana kempen PRN Melaka ke-16 yang tenang dapat dikekalkan sehingga hari pengundian tanpa insiden tidak diingini.
  • Manifesto BN mengandungi 113 perkara yang dirangka berdasarkan keperluan pelbagai kelompok rakyat negeri Melaka.
  • Seramai 79 calon bertanding merebut 28 kerusi DUN Melaka, dengan BN bertanding di 23 kerusi dan PH di 24 kerusi.
Advertisement

AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) berharap suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang berlangsung tenang setakat ini dapat dikekalkan sehingga hari pengundian, Sabtu ini, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersyukur apabila semua parti yang bertanding dilihat menghormati etika dan tatacara berkempen sepanjang tempoh pilihan raya.

Menurutnya, suasana kempen kali ini juga lebih tenang berbanding beberapa pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil sebelum ini.

Advertisement

“Walaupun keadaan ini sangat-sangat tenang berbanding kempen pilihan raya negeri-negeri yang lain atau pilihan raya kecil, kita mengharapkan agar pada hari pengundian nanti tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku.

“Kita mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pasukan keselamatan dan juga kerjasama yang diperlihatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),pada Rabu.

Mengulas persiapan BN menghadapi hari-hari terakhir kempen, Zahid berkata tempoh berkempen semakin menghampiri penghujung apabila hanya berbaki kurang 72 jam sebelum kempen tamat pada 13 November, pukul 12 tengah malam.

Dalam pada itu, beliau berkata BN menawarkan manifesto pilihan raya yang mengandungi 113 perkara sebagai tawaran kepada pengundi di Melaka.

Katanya, manifesto berkenaan digariskan berasaskan beberapa teras utama dengan mengambil kira keperluan rakyat negeri itu yang terdiri daripada pelbagai kelompok umur, kaum, agama, budaya dan bahasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada calon-calon BN yang diketengahkan pada PRN kali ini.

Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 14 November ini.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), calon Bebas (tiga) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (satu).

Must Watch Video

Advertisement