Skip to main content

Malaysia

Lelaki buat hantaran jelik di Facebook dipenjara tiga bulan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memulakan penghantaran jelik pada 12 Mac lalu. - Foto Bernama
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memulakan penghantaran jelik pada 12 Mac lalu. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri di Facebook.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memulakan penghantaran jelik pada 12 Mac lalu.
  • Pendakwaan memohon hukuman setimpal demi kepentingan awam, manakala peguam tertuduh memohon hukuman lebih ringan atas faktor keluarga.
Advertisement

SEPANG: Seorang lelaki dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah membuat hantaran yang jelik melampau sifatnya terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook, Mac lepas. 

Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Shazrin Jamil, 35, selepas lelaki itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya .

Mohamed Shazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran yang didakwa bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook “Shazrin Kedah”, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada kira-kira 6.15 petang, 12 Mac, yang kemudiannya dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, Selangor.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama. 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Tertuduh juga boleh didenda selanjutkan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Advertisement

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan, dengan mengambil kira kepentingan awam serta keperluan mencegah kesalaham seumpama itu daripada berulang.

Beliau berhujah hukuman tegas bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada lelaki itu, malah menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan sama. 

Bagaimanapun, peguam Amer Haiqal Mohd Yusof yang mewakili Mohamed Shazrin, memohon hukuman penjara lebih singkat atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungjawab menjaga kedua ibu bapanya yang menghidap masalah kesihatan. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement