Skip to main content

Malaysia

MINDEF percepat penubuhan Pasukan Siber ATM susulan ancaman siber

MINDEF akan mempercepat penubuhan Pasukan Siber ATM susulan peningkatan ancaman siber, selain mengekalkan kesiapsiagaan banjir dan menggalakkan penyertaan Askar Wataniah.
MINDEF akan mempercepat penubuhan Pasukan Siber ATM susulan peningkatan ancaman siber, selain mengekalkan kesiapsiagaan banjir dan menggalakkan penyertaan Askar Wataniah.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertahanan mempercepatkan penubuhan Pasukan Siber ATM susulan peningkatan ancaman serangan siber, lebih awal daripada jangkaan asal pada 2030.
  • ATM telah menubuhkan pasukan nukleus untuk merancang struktur organisasi Pasukan Siber dengan menggabungkan kekuatan unit sedia ada.
  • Seramai 5,234 anggota ATM dan 933 aset darat, air serta udara disiap siaga tinggi bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan operasi banjir.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mempercepatkan penubuhan Pasukan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan peningkatan ancaman serangan siber ketika ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan pasukan yang akan menjadi cabang keempat ATM selepas darat, laut dan udara itu pada asalnya dijangka dilancarkan pada 2030, namun kerajaan kini komited memudah cara segala keperluan dari segi anggota dan peralatan untuk disegerakan.

Beliau berkata satu pasukan nukleus telah diwujudkan sebelum ini bagi merancang dan merangka struktur organisasi pasukan tersebut dengan menggabungkan kekuatan sedia ada daripada unit perkhidmatan masing-masing.

Advertisement

"Memandangkan peningkatan ancaman siber yang semakin ganas dan kita tidak mahu dikejutkan dalam keadaan tanpa persediaan. Maka kita maklumkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan pasukan siber ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang turut bertindak sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis.

Advertisement

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malik Razak Sulaiman, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

Mengenai persediaan ATM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Mohamed Khaled berkata 5,234 anggota terdiri daripada 314 pegawai dan 4,920 anggota lain-lain pangkat diletakkan dalam keadaan siap siaga tinggi untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Beliau berkata bagi operasi banjir, ATM mengamalkan prinsip sebagai pasukan pertama yang berada di lapangan.

"Bagi menyokong mobiliti, ATM turut menyediakan 589 aset darat dan 344 aset mobiliti air serta mobiliti udara dengan pelbagai aset sekiranya terdapat keperluan mendesak," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled menyeru supaya lebih ramai rakyat menyertai pasukan sukarela bagi mengukuhkan konsep Pertahanan Menyeluruh.

Beliau berkata MINDEF menyasarkan penyertaan 6,000 anggota Askar Wataniah baharu pada setiap tahun untuk melengkapkan kapasiti dan mengimbangi kekuatan anggota tetap, dengan jumlah kekuatan Askar Wataniah sedia ada pada masa ini adalah 35,000 orang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement