KLANG: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, bulan lepas.
Ahmad Shukri Suhairin, 24, didakwa melakukan rompak terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun bersenjatakan sepucuk pistol jenis revolver dan melarikan selaras senapang jenis “pump gun” milik sebuah syarikat keselamatan di depan cawangan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi di sini pada 5.45 petang, 20 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama-sama Seksyen 397 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat yang bersesuaian terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Rozuddin Muhammed memohon jaminan minimum memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidapi masalah psikiatri seperti kebimbangan serta kemurungan.
Hakim Mujib Saroji kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menetapkan sebutan semula kes pada 14 Sept depan.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan pantas seorang pekerja syarikat keselamatan berjaya menggagalkan cubaan merompak wang tunai kira-kira RM82,000 ketika proses pemindahan wang dari sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
-- BERNAMA