SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan mencederakan seorang lagi dalam kejadian langgar lari Ahad lalu.

Tertuduh, Nur Holis, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemuka terhadapnya di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, Nur Holis, didakwa memandu kenderaan Proton Wira Aeroback dalam keadaan berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Nizam Shamsudin, 46, Timbalan Pengarah Imigresen Sungai Bakap.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Kilometer 83.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada pukul 9.30 pagi 4 September 2022.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Priya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin sementara passport tertuduh ditahan.

Mahkamah menetapkan 28 September depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Dalam kejadian Ahad lalu Timbalan Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Shahsudin, 46, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang oleh kereta dipandu suspek.

Kejadian itu turut mengakibatkan Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan kerana terlanggar motosikal rakannya yang jatuh di lorong kecemasan.

Kedua-dua pegawai yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang itu ketika kejadian menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki KLE650 masing-masing dan dalam perjalanan ke Gurun.

Sebaik melanggar mangsa suspek bertindak melarikan diri dan hanya menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada pukul 6.30 keesokkan harinya.