KAMPAR:Seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai aktiviti berbasikal bersama tiga rakan sekampung di Jambatan Kampung Baru Kuala Dipang, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata, lelaki berusia 44 tahun itu bekerja sebagai kerani di Majlis Daerah Kampar.

Menurutnya, kira-kira jam 5.50 petang, pengadu yang juga adik si mati mendapati abangnya telah terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan.

“Pengadu bersama adik iparnya terus membawa si mati ke Hospital Kampar dan menerima rawatan awal daripada Pegawai Perubatan, sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal lelaki tersebut menjalani aktiviti berbasikal bersama tiga rakan sekampung daripada Batu Karang sehingga ke Kampung Baru Kuala Dipang.

“Menurut saksi yang bersama-sama menunggang ketika kejadian, setibanya di Jambatan Kampung Baru, si mati dipercayai tidak dapat mengawal basikalnya lalu terjatuh dan tidak sedarkan diri,” ujarnya.

Si mati dikatakan mengalami penyakit kencing manis dan gout semenjak lima tahun lepas dan menjalani rawatan berkala di Hospital Kampar sebulan sekali.

Menurutnya, berdasarkan aduan adiknya, si mati tidak mengalami COVID-19, termasuk ahli keluarganya tiada dalam Sistem E-Notifikasi dan Sistem E-Covid.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar malam tadi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan punca kematian si mati adalah "Coronary Artery Disease".