Skip to main content

Malaysia

Lelaki OKU maut dipercayai terhidu asap dalam kebakaran rumah

Lelaki OKU Maut, Hidup asap kebakaran
Pasukan bomba menemukan mangsa tidak sedarkan diri di katil dalam posisi duduk di dalam bilik berhampiran ruang tamu. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUANTAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal ditemukan maut dipercayai selepas terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Seri Mahkota Jaya di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 pagi dan kebakaran membabitkan ruang tamu rumah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 15 peratus.

“Semasa operasi pemadaman, bomba menemukan mangsa tidak sedarkan diri di katil dalam posisi duduk di dalam bilik berhampiran ruang tamu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Mohd Razam berkata mangsa G. Vithalinggam yang berusia 60-an tidak mengalami kesan melecur pada badan dan dipercayai bersendirian di rumah kerana adik perempuan serta iparnya mempunyai urusan di klinik. 

Beliau berkata operasi melibatkan hampir 20 pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas serta BBP Indera Mahkota.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, adik perempuan mangsa G. Lomba, 64, berkata mengetahui tentang kebakaran itu selepas dihubungi jirannya pada kira-kira 10 pagi. 

“Sebelum keluar ke klinik pada kira-kira 7 pagi, saya sempat menyediakan sarapan dan nampak abang sudah bangun,” katanya.

Lomba berkata menjaga abangnya sejak tiga tahun lepas dan mendiang menjalani pembedahan pada kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis lebih dua tahun lepas. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement