Ringkasan AI
- Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) menyemak semula tarikh penyerahan kapal tempur pesisir pertama kepada TLDM kepada April 2027.
- Pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu oleh Norway dan keperluan pematuhan kawal selia antarabangsa menjejaskan jadual penyerahan kapal.
- LUNAS menegaskan sebarang penentuan liabiliti kontrak perlu melalui proses kontrak dan perundangan, serta kekal komited menyerahkan LCS yang selamat dan berkeupayaan.
KUALA LUMPUR: Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) kekal komited untuk menyerahkan kapal tempur pesisir pertama (LCS1) kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan sasaran penyerahan fizikal kapal itu disemak semula kepada April 2027.
LUNAS dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan perubahan garis masa penyerahan LCS1 perlu dilihat dalam konteks keseluruhan kerumitan teknikal, kawal selia serta kontrak program berkenaan, dan tidak wajar dikaitkan semata-mata dengan pihak syarikat.
Menurut LUNAS, antara perkembangan utama yang mempengaruhi jadual penyerahan kapal itu ialah pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan oleh pihak berkuasa Norway.
Susulan keputusan itu, LUNAS tidak lagi dibenarkan di bawah peraturan kawalan eksport antarabangsa, termasuk Peraturan Perdagangan Senjata Antarabangsa (ITAR) untuk menyerahkan kapal yang dilengkapi sistem pelancar peluru berpandu berkenaan.
Bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia, sistem pelancar itu perlu dikeluarkan dan dikembalikan ke Norway bagi mengekalkan rantaian jagaan yang diwajibkan, sekali gus memerlukan kerja pematuhan, pemunggahan dan pembaikan tambahan.
Menurut kenyataan itu, LUNAS telah memaklumkan secara rasmi kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengenai implikasi teknikal, kos dan jadual susulan perkembangan itu yang berada di luar skop serta kawalan kontrak asal syarikat.
Syarikat itu turut memaklumkan beberapa kontrak pelengkap yang kritikal untuk mencapai Penyerahan Fizikal tidak termasuk dalam skop sedia ada LUNAS dan perlu dikontrakkan secara langsung oleh MINDEF kepada pengeluar peralatan asal.
Kontrak berkenaan merangkumi pembekalan peluru berpandu permukaan ke permukaan, peluru berpandu permukaan ke udara, sistem pelancaran umpan bersepadu serta peluru bagi meriam berkaliber sederhana, yang diperlukan untuk melengkapkan pengujian, pentauliahan dan penerimaan kapal.
Selain itu, Surat Setuju Terima (SST) bagi pakej Sokongan Logistik Bersepadu dan Bantuan Ujian dikeluarkan pada Ogos 2025, namun kontrak hanya dimuktamadkan dan ditandatangani pada Ogos 2026.
Menurut LUNAS, kelewatan itu memberi kesan kepada pelaksanaan program latihan yang merupakan sebahagian penting daripada skop pakej berkenaan.
Mengenai cadangan pengenaan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan, LUNAS memaklumkan sebarang penentuan tanggungjawab kontrak perlu dibuat melalui mekanisme kontrak dan perundangan yang ditetapkan, dan laporan Ketua Audit Negara tidak seharusnya dianggap sebagai keputusan muktamad berhubung liabiliti kontrak.
Syarikat itu menyatakan pengauditan dilaksanakan berdasarkan maklumat daripada MINDEF dan TLDM, sambil menghormati dapatan serta saranan laporan berkenaan.
Bagaimanapun, LUNAS menegaskan haknya untuk mengemukakan pendirian dan fakta sokongan melalui proses kontrak sebelum sebarang kesimpulan mengenai tanggungjawab atau liabiliti dibuat.
LUNAS mengulangi komitmennya untuk menyerahkan LCS yang selamat, berkeupayaan dan bersedia untuk misi bagi memperkukuh kesiagaan operasi TLDM. Sasaran penyerahan fizikal pada April 2027 bagaimanapun boleh berganjak lebih lewat sekiranya Perintah Perubahan kepada kontrak terus tertangguh.
-- BERNAMA