BIDOR: Seorang lelaki Orang Asli ditemui lemas di sebatang sungai di Kampung Menderam, dekat sini, malam tadi.

Mayat mangsa yang berusia 25 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung berdekatan tebing sungai berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat daripada pihak polis kira-kira jam 9.44 malam yang meminta bantuan untuk mengambil mangsa lemas.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.

“Anggota yang tiba bertindak mengambil mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sazali Abu Bakar tamat jam 10.51 malam.