SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas perunding pengurusan acara sambilan yang merupakan individu pertama menghadapi pertuduhan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Majistret Sasha Diana Sabtu memerintahkan Mohamad Safiq Rosli, 38, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan yang mendapati tertuduh ada melakukan perbuatan sebagaimana dalam pertuduhan iaitu mengganggu seorang jurugambar wanita, Acacia Mardiana Daud, 31 menggunakan aplikasi Twitter pada Julai tahun lepas.
"Mahkamah mendapati disebabkan akal yang tidak waras tertuduh tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah satu kesalahan yang bertentangan dilakukan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
"Oleh itu di bawah peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, seterusnya merujuk Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh diperintahkan untuk ditempatkan di bawah tahanan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak ," katanya dalam penghakiman kes itu.
Sasha Diana berkata kes itu juga akan dilaporkan kepada Sultan Selangor bagi perintah selanjutnya di bawah seksyen yang sama.
Sementara itu, peguam pemerhati kepada Acacia Mardiana, Jason Wee ketika membacakan kenyataan impak mangsa sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memaklumkan anak guamnya diganggu lelaki itu sejak berusia 23 tahun dengan tertuduh membuat lebih 30 akaun media sosial untuk mengganggu anak guamnya.
Beliau turut menyatakan antara lain dalam masa lapan tahun, anak guamnya telah kehilangan rakan kerana beliau takut untuk bersosial, dan pendapatan melalui media sosial kerana takut untuk memuat naik hantaran mengenai sesuatu produk.
"Dia telah menghabiskan duit untuk pergi ke seluruh dunia, menghabiskan masa berbulan-bulan di United Kingdom (UK) hanya untuk mencari saya, dia bijak dalam mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di UK.
"Selama lapan tahun, saya menangis dan rasa putus asa. Saya rasa seperti saya akan dibunuh kerana saya tahu dia memang terlalu memikirkan saya, dan tidak akan berhenti mencari saya tidak kira apa yang dikatakan sesiapapun, tidak kira jika saya sudah berkahwin," katanya ketika membacakan kenyataan impak bagi pihak anak guamnya
Terdahulu, saksi pembelaan, pakar perunding psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan ke atas Mohamad Safiq mendapati tertuduh menghidap penyakit Schizophrenia.
"Semasa melakukan kesalahan itu, dia (Mohamad Safiq) tidak menyedari perbuatannya adalah satu kesalahan dan dia tidak tahu bahawa perbuatannya menyalahi undang-undang kerana fikirannya tidak waras pada masa itu. Gangguan mental dihadapinya pada waktu pertuduhan adalah lebih kepada berdelusi, dia menghadapi pelbagai bentuk delusi dengan yang paling ketara ialah delusi cinta atau dikenali sebagai "erotomania".
Delusi ini bermula hampir lapan tahun lalu dan berkembang dalam satu jangka waktu. Dan kerana delusi ini, keseluruhan hidupnya bertumpu kepada kehidupan mangsa. Dia menjadikan satu tugas untuknya mengetahui setiap butiran mangsa seperti kehidupan peribadi dan kerjaya, selain perkara yang disukai dan dibenci," katanya.
Anthony berkata Mohamad Safiq percaya dia dan mangsa berada dalam hubungan yang romantik tetapi fakta sebenarnya dia hanya bertepuk sebelah tangan.
Pada 20 Dis lepas, Mahkamah Majistret di sini menolak pengakuan bersalah Mohamad Safiq yang didakwa mengganggu Acacia Mardiana melalui aplikasi Twitter atas nama akaun "@sopert99" dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa "@ShaFoShizzle" yang telah dibaca di sebuah rumah di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai tahun lepas sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sasha Diana berkata mahkamah menolak pengakuan itu atas alasan terdapat isu berhubung ketidakwarasan tertuduh yang dibangkitkan pihak pendakwaan dan menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes ini pada 20 Dis lepas.
Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinas Abbas dan Analia Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam, Fithril Hakim Ab Jalil.
Seramai dua saksi pendakwaan termasuk mangsa dan satu saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 10.30 pagi tadi.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jan 17 2024
Mahkamah Majistret Shah Alam melepas dan membebaskan pereka sambilan, Mohamad Safiq Rosli, 38, (kiri) yang menjadi individu pertama didakwa atas kesalahan menghendap serta memerintah lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta. - BERNAMA
Bersatu ambil tindakan susulan terhadap enam ahli Parlimen - Muhyiddin
Bersatu sedang melaksanakan tindakan susulan terhadap enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri selepas meminda Perlembagaan parti bulan lalu.
'Made in Malaysia' - Apple punyai 19 kilang pembekal di negara ini
Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai beberapa kilang pembekal yang menawarkan komponen kepada Apple.
SPRM lancar bilik gerakan PRK Kuala Kubu Baharu
SPRM melancarkan bilik gerakan, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
WEF anjur mesyuarat khas di Arab Saudi ketika suhu geopolitik Asia Barat memanas
WEF keluar dari kelazimannya dengan menganjurkan mesyuarat khas dua hari, 28-29 April 2024 di Riyadh, Arab Saudi.
Kerajaan rangka hala tuju beri lebih banyak perlindungan kepada kanak-kanak
Kerajaan akan merangka hala tuju bagi memberikan lebih banyak perlindungan dari segi undang-undang kepada kanak-kanak di negara ini.
Tiada tepung di pasaran tempatan mengandungi benzoil peroksida melebihi kadar dibenarkan - KKM
Tiada mana-mana jenama tepung di pasaran tempatan mengandungi benzoil peroksida melebihi paras yang dibenarkan di bawah undang-undang.
Freedom Flotilla to Gaza: Semua delegasi diminta pulang, FFC akan maklumkan tarikh baharu misi
Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu kepada semua delegasi terlibat sekiranya tarikh akhir pelayaran ditetapkan.
Bytedance enggan jual TikTok di Amerika Syarikat
BYTEDANCE kini mengatakan mereka tidak akan menjual perniagaan TikTok di Amerika Syarikat (AS).
Malaysia komited tingkat hubungan dua hala bersama Libya
Malaysia terus komited mempertingkatkan hubungan dua hala yang berterusan bersama Libya demi manfaat bersama dalam pelbagai sektor.
Cegah jenayah: Kerjasama komuniti kekang jenayah secara holistik
Jelasnya, program seumpama ini diharap dapat memberikan pendedahan tentang pencegahan jenayah dan menzahirkan aspirasi PDRM untuk penglibatan aktif warga komuniti dalam memerangi aktiviti jenayah.
Lelaki pertama didakwa atas tuduhan menghendap ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta
Majistret Sasha Diana Sabtu memerintahkan Mohamad Safiq Rosli, 38, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Bung Moktar, Zizie Izette lepas bebas kes rasuah RM2.8 juta
Susulan keputusan itu, Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.
14 individu 'Geng Nicky' bebas tuduhan jenayah terancang
Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan 14 individu termasuk dua adik kepada ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang.