KEMAMAN: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan pada anggota badan selepas dipukul anak lelakinya dalam kejadian di Felda Neram 1, Jabor dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian jam 9.50 pagi oleh anggota unit ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Kuantan.

Menurutnya, mangsa, Noryati Akil, 64 dilaporkan luka pada bahagian jari dan belakang badan akibat dipukul menggunakan kayu.

"Pihak polis menerima maklumat daripada anggota unit ambulans PBSM Kuantan yang memaklumkan telah memberi rawatan kepada seorang wanita.

"Wanita berkenaan dikatakan mengalami kecederaan kerana dipukul anak lelakinya yang mengamuk di rumah mereka," katanya pada Jumaat.

Hanyan memberitahu, wanita berkenaan telah dihantar untuk mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Cheneh sebelum dibawa ke Hospital Kemaman.

Beliau berkata, susulan itu polis berjaya menahan suspek yang berusia 48 tahun kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, sekitar jam 2.30 petang pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati suspek positif dadah serta mempunyai empat rekod kes jenayah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

"Polis masih belum merakam keterangan ibu suspek bagi mengenal pasti punca kejadian kerana wanita itu masih menerima rawatan di hospital," katanya.

Hanyan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman pada Sabtu bagi proses permohonan reman.

"Siasatan bagi kes itu akan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja," katanya. -Sinar Harian