BAGAN SERAI: Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan Bagan Seberang, Kampung Kuala Gula, dekat sini, hari ini.

Melalui maklumat keluarganya, mangsa dikenali sebagai Ong Yean Tong, 48.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Muhamad Irham Mohd. Zain berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 10.41 pagi.

Menurutnya, setibanya anggota di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Honda terbakar 70 peratus dan terdapat seorang lelaki disahkan rentung dalam kenderaan tersebut.

Melalui maklumat keluarganya, mangsa dikenali sebagai Ong Yean Tong, 48. - Foto JBPM

Katanya, anggota bomba menggunakan satu aliran ‘hose reel’ dan satu unit ‘foam’ bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Api berjaya dikawal dalam masa lima minit dan mangsa dijumpai rentung di bahagian pemandu," katanya hari ini.

Menurut Muhamad Irham lagi, kebakaran itu menyebabkan kenderaan tersebut musnah lebih 90 peratus dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.