KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba merompak dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita di sebuah kedai dobi layan diri, bulan lepas.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut selepas Muhammad Faiz Radzali, 25, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 31 tahun di sebuah kedai dobi layan diri di Seberang Takir dekat Kuala Nerus, pada kira-kira 3 petang, 30 Sept lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan itu bermula daripada tarikh Muhammad Faiz ditahan iaitu pada 1 Okt lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dilaporkan pada 30 Sept lepas seorang wanita ditikam di belakang badannya oleh seorang lelaki menggunakan senjata tajam dipercayai gunting, di dalam sebuah kedai dobi layan diri di Seberang Takir dekat Kuala Nerus.

Video kejadian itu yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki meluru masuk lalu menikam mangsa sebelum melarikan diri.

-- BERNAMA