IPOH:Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah bangsal di satu kawasan berlalang di Ampang berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Muhamad Shahrizal Aris berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang mengorbankan lelaki berusia 71 tahun itu kira-kira pukul 5.47 petang.

"Kami segera mengarahkan seramai 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati bangsal seluas 10x20 kaki (3.05 meter X 6.1 meter) itu terbakar sebanyak 90 peratus manakala mangsa yang telah rentung ditemukan di bawah timbunan zink yang terbakar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini semalam.

BACA: Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di kebun jambu

Beliau berkata api dapat dikawal dalam masa lima minit dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya pasukan forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata warga emas itu dikenali sebagai Lye Yoon Pheng, dan tempat kejadian merupakan kebun limau miliknya sendiri di tepi Sungai Pinji, Tambun.

Dalam pesanan ringkas menerusi Whatsapp kepada pihak media, beliau memberitahu soal siasat ke atas anak Lye mendapati warga emas itu ada membuat panggilan telefon kepada saudaranya dan memberitahu bahawa dia telah penat dan 'mahu jalan'.

Asmadi berkata mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA