MANJUNG: Seorang lelaki warga Thailand maut akibat ditembak oleh sekumpulan disyaki warga Indonesia di perairan Pantai Remis pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan pada jam 12.20 tengah hari semalam dari seorang lelaki yang memaklumkan perkara tersebut.

“Pengadu iaitu seorang lelaki memaklumkan seorang lelaki warganegara Thailand telah mati ditembak oleh sekumpulan disyaki warganegara Indonesia.

"Kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di atas bot milik pengadu pada kedudukan latitude 45712.0N 991436.0E.

"Pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya menerusi alat 'walkie talkie' dan mereka mengambil masa untuk perjalanan balik ke pelantar ikan di Pantai Remis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi proses bedah siasat.

Sehubungan itu ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati.

Katanya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tembakan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Azalan Ab. Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan.