Lemang periuk kera kini semakin popular dan pasti menjadi pilihan untuk dijadikan juadah sempena sambutan Aidilfitri, minggu depan kerana ia dikatakan lebih enak daripada lemang yang dimasak dalam buluh.

Bagaimanapun, penghasilan lemang menggunakan kelongsong periuk kera itu menimbulkan keresahan dalam kalangan pencinta alam kerana penuaian kelongsong periuk kera secara keterlaluan boleh membawa kepada kepupusan spesis tumbuhan itu.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia Dr K. Daljit Singh berkata sekiranya penjualan lemang periuk kera ingin diteruskan, pihak berkuasa perlu segera meneliti cara terbaik untuk memelihara tumbuhan itu daripada diancam kepupusan.

"Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu... penguatkuasaan perlu dilakukan dan sekiranya masyarakat berpendapat perniagaan ini boleh membantu menambah pendapatan, maka seharusnya pihak berkuasa perlu juga meningkatkan aktiviti penanaman semula.

"Hal ini bagi memastikan populasi periuk kera tidak akan terjejas dan pengetahuan tentang jenis-jenis periuk kera yang terancam atau tidak itu perlu diketahui umum agar mereka dapat membezakannya apabila membeli daripada peniaga," kata Daljit yang juga pakar dalam bidang rehabilitasi perhutanan kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

BACA: Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Isu yang mendapat perhatian di media sosial itu telah dibangkitkan oleh Felo Penyelidik dan Pensyarah dalam bidang Botani Pemuliharaan Biologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad yang melahirkan kebimbangannya terhadap aktiviti menuai periuk kera secara berleluasa ketika ini.

Dr Abdul Latif memberitahu Bernama bahawa kenyataan peniaga yang menafikan tindakan mereka mengancam populasi periuk kera adalah tidak relevan kerana hanya pihak di Institut Penyelidikan Perhutanan dan pakar-pakar dari universiti sahaja yang boleh menilai faktor yang mengancam tumbuhan itu.

Dalam pada itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap kumpulan pencari periuk kera di Johor dan akan memastikan periuk kera itu tidak diambil dari kawasan hutan simpan.

"Kelongsong periuk kera yang digunakan untuk membuat lemang itu tidak diwartakan di bawah spesies yang dilindungi tetapi pihak kami sudah mendapatkan kenyataan daripada pencari bagi memastikan ia tidak dikutip di kawasan hutan simpan. Jika di luar kawasan hutan simpan adalah di luar bidang kuasa kami," katanya.

Beliau juga turut berkata hasil tinjauan pihaknya di rumah pencari periuk kera itu mendapati sebanyak 140,000 kelongsong periuk kera telah di kutip dan kutipan itu dijalankan di luar kawasan hutan simpan.

BACA: Hentikan jualan lemang periuk kera - Maya Karin

Pihaknya juga telah menasihati kumpulan itu agar tidak meneruskan aktiviti berkenaan kerana dipercayai akan menjejaskan biodiversiti.

Menurut Yussainy lagi, pencari kelongsong periuk kera ini adakalanya mendapatkan bekalan mereka daripada Orang Asli yang menjual pada harga RM25 bagi 100 kelongsong periuk kera.

Beliau berkata kini pihaknya sedang meneliti segala cadangan daripada para pakar dan penyelidik tumbuhan yang berhasrat agar kesemua spesies periuk kera diwartwakan sebagai tumbuhan yang dilindungi.

-- BERNAMA