Skip to main content

Malaysia

Lemas mandi laut di Langkawi, kanak-kanak 4 tahun dirawat di PICU

81630728323_TBLangkawi.jpg
Mangsa terpaksa ditidurkan di PICU HSB dan memerlukan bantuan mesin oksigen untuk bernafas. - Gambar hiasan

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas ditemukan lemas semasa mandi laut bersama abangnya di Langkawi pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada seorang doktor di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang memaklumkan menerima mangsa yang dihantar untuk rawatan awal.

Advertisement

“Sebelum kejadian, mangsa dan abangnya yang berusia lapan tahun sedang mandi laut yang terletak kira-kira lapan meter dari hadapan rumah mereka sambil diperhatikan ibu mangsa. Ketika sedang mandi, ibu mangsa memaklumkan air di kawasan itu berada pada paras lutut dengan ombak yang kecil.

“Ibu mangsa kemudiannya telah pergi ke bahagian dapur untuk melihat makanan yang sedang dimasak dan selang beberapa minit, abang mangsa memanggil ibunya dan memaklumkan mangsa telah lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ibu mangsa bergegas ke tempat kejadian dan meminta bantuan ibu mentuanya kerana dia tidak pandai berenang.

“Setelah berjaya diselamatkan, ibu mangsa memberi pertolongan awal dengan menepuk bahagian belakang badan mangsa. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh jirannya kerana ketika kejadian, bapa mangsa sedang menunaikan solat Jumaat di masjid.

“Mangsa terpaksa ditidurkan dan memerlukan bantuan mesin oksigen untuk bernafas. Pada Sabtu, mangsa telah dipindahkan ke hospital di Alor Setar dengan menaiki feri untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video