KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Lembaga Pengarah Felcra menyedari keputusan untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad mempunyai risiko.

Mohd Azmy Abu Samah, 54, bagaimanapun berkata beliau memohon cadangan pelaburan itu dipertimbangkan sewaktu membentangkannya pada mesyuarat lembaga pengarah.

"Namun, keputusan mengenai pelaburan itu tidak dibentangkan atau dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT)," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata semasa sesi pembentangan, beliau ada memaklumkan Felcra mempunyai wang tunai RM300 juta untuk dilaburkan dan memohon lembaga pengarah mempertimbangkannya.

Disoal Kumaraendran adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Datuk Ramlee Abu Bakar membangkitkan apa-apa isu semasa pembentangan cadangan pelaburan itu, saksi itu berkata CEO cuma bertanya mengapa pelaburan unit amanah ini tidak dibawa kepada MPT.

Bagaimanapun, Mohd Azmy berkata tiada bantahan atau perbincangan daripada lembaga pengarah (Felcra) berkaitan pelaburan itu.

Kumaraendran: Adakah lembaga pengarah meneruskan pelaburan (RM150 juta) itu.

Mohd Azmy: Ya.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa pelaburan RM150 juta itu dibuat oleh Felcra pada 18 Mei 2015.

Mohd Azmy juga bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa lembaga pengarah tidak pernah meluluskan sebarang jumlah untuk dilaburkan oleh Felcra.

Dalam prosiding sebelum ini, Mohd Azmy memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Bung Moktar.

Prosiding bersambung pada 12 April ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

-- BERNAMA