Sepuluh ekor lembu dengan nilai lebih RM40,000 yang dibawa masuk dari Thailand berjaya dirampas pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

Rampasan lembu yang dipercayai untuk tujuan korban pada Hari Raya Aidiladha pada bulan depan itu dibawa masuk menyeberang sungai melalui sempadan di Kampung Bendang Pak Yong di sini awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Ahmad Amri Abdul Rahman, pihaknya berjaya merampas lembu yang ditinggalkan oleh kumpulan sindiket dalam intipan dan serbuan yang dilakukan jam 5.30 pagi tadi.

“Modus operandi sindiket ini adalah lembu dari negara jiran dibawa masuk oleh anggota sindiket untuk ditempatkan di satu lokasi, sebelum dipunggah ke kandang sementara.

“Kita akan teruskan operasi memantau sepanjang Sungai Golok bagi memastkan kegiatan penyeludupan barangan menyalahi undang-undang berjaya membolosi kawalan sempadan

Bercakap kepada pemberita, beliau menjelaskan, lembu berkenaan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan yang ingin mendapatkan lembu untuk tujuan korban Aidiladha.

Kesemua lembu rampasan itu akan dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia di Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

Pada 6 Ogos lepas, pihaknya berjaya merampas 20 ekor kerbau bernilai lebih RM100,000 yang dipercayai digunakan untuk tujuan korban Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Permintaan tinggi lembu dan kerbau dari negara jiran menjelang Aidiladha seringkali digunakan penyeludup membawa masuk ternakan berkenaan secara tidak sah.