Hanya kerana melengahkan suruhan ibu, ayat-ayat al Quran yang dibaca gagal dihafal seperti biasa, kata hafiz muda Abdul Rauf Sapuan, 16, yang diumumkan sebagai Tokoh Tahfiz bahagian lelaki pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan kali kesembilan di sini.

Beliau berkata jika pada kebiasaannya beliau hanya mengambil masa 15 minit untuk menghafal satu muka surat, namun pada satu ketika di bulan Mac 2016, akibat melengah-lengahkan satu suruhan ibunya, beliau dapati amat sukar sekali untuk mengingati biar satu pun ayat yang baru dibaca sekalipun.

"Atas nasihat seorang ustaz, saya telefon ibu bapa mohon ampun daripada dua hamba Allah yang paling berjasa dalam hidup saya, mendoakan saya. Alhamdulillah selepas itu semuanya kembali seperti biasa," kata hafiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong ditemui selepas Majlis Graduasi Tahfiz di sini pada Selasa.

Seramai 281 pelajar tahfiz dari sembilan buah sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan menerima sijil masing-masing daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di majlis pada Selasa.

Pada majlis sama Ainul Mardhiah Hamdan dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dinobatkan sebagai Tokoh Tahfiz 2018 (perempuan).

-- BERNAMA