“EH Astro tak nak cari pelakon ke? Kalau ada nak pakai kau cari aku.”
Penuh bersemangat dengan wajah serius, Jalal Hasan berseloroh sambil tangannya ligat menyusun baki ikan yang masih belum terjual di atas meja kedainya.
Lelaki berbadan tegap tetapi rendang dan berkepala botak itu tangkas gerak kerjanya, seiring juga mulutnya.
Setiap yang lalu pasti ditegur, sesekali melaung kepada rakan seniaga di sudut lain Pasar Besar Bachang yang luas itu, bagai sebuah keluarga besar yang sudah amat mengenali antara satu dengan yang lain.
Ya, mereka memang begitu. Lagi pula orang Melaka, guraunya maki hamun!
Kata Jalal, ramai yang berniaga di pasar itu semuanya muka-muka yang sama sejak dia mula berniaga ikan hampir 30 tahun dahulu bermula di pasar Jalan Tun Ali, sebelum ke Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dekat Melaka Sentral di Peringgit.
Kini, mereka berpindah ke Pasar Besar Bachang, tapak sementara kerana dimaklumkan pihak MBMB mahu membaiki dan menaik taraf fasiliti pasar di Peringgit itu. Tetapi sedihnya perniagaan tidak lagi seperti sebelum ini, sejak 'berpindah' di tempat baharu itu lima bulan lepas.
“Semalam ada orang gantung diri di lot sana itu (menunjukkan lot kedai selang dua daripadanya, kelihatan pita amaran polis melilit antara dua tiang lot tersebut)," ujarnya serius.
Tidak lama kemudian, Jalal tak dapat menahan lagi untuk senyum dan ketawa melekek-lekek selepas melihat riak muka saya yang sudah hampir benar mempercayainya.
Seorang peniaga berusia sekitar 50-an yang berhampiran berkata pada saya, “kau jangan percaya sangat si Jalal ni, dalam 10 dia cakap satu sahaja yang boleh percaya!,” sambil ketawa.
Jalal ini wataknya memang ceria, suka bergurau, akhirnya menjadi seakan penghibur di sudut penjual ikan di pasar itu. Sedikit sebanyak terisi kesepian dek kekurangan pelanggan yang datang membeli saban hari.
Namun kata Jamal, ada hari yang sehingga sudah kehabisan modal untuk berborak lagi kerana terlalu sunyi. Akhirnya semua termenung membunuh masa sehingga tidak larat lagi untuk menunggu.
“Makin hari makin rabak, dik. Sekarang ni meniaga tidak macam dulu. Kita nak ambil barang pun fikir dua tiga kali, tak boleh gila-gila macam dulu, pasal barang makin mahal.
“Dulu ikan kembong sekilo baru RM5 hingga RM6, sekarang sudah sampai RM18. Saya pula sekarang ambil bekalan cuma tiga ke empat tong sahaja, kadang-kadang tak habis terjual pun. Dulu boleh ambil barang sampai empat, lima tong. Sekarang yang terjual pula kurang-kurang satu hari RM40 ke RM50, itu pun belum tentu ada tak ada, kadang-kadang hampas!,” ceritanya.
Lelaki berusia 45 tahun itu dilahirkan di Durian Daun dan menetap di Batu Berendam. Sudah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak. Boleh kata seluruh kehidupannya dihabiskan di negeri Melaka selepas mula mengikut orang berniaga ikan di pasar.
“Abang mula-mula ikut orang berniaga masa sekolah. Pagi berniaga, tengah hari balik siap pergi sekolah petang. Kemudian sekolah tak habis, abang mula jual ikan sendiri, seorang diri.
“Sebenarnya abang memang minat sangat jadi ‘bodyguard’. Pernah sekejap jadi ‘bodyguard’ seorang kawan yang bergelar Datuk satu ketika dulu, tapi arwah nenek tak benarkan, bahaya senang mati. Itu yang dah tak jadi lagi, sambung meniaga ikan,” katanya bersungguh-sungguh.
Kemerosotan perniagaan di lokasi baharu itu dilihatnya berpunca daripada kekurangan tempat letak kereta, sepertimana yang turut diluahkan rakan-rakannya yang lain. Nampak luas tetapi ia tidak dapat menampung kehadiran orang awam, ditambah pula kawasan itu terletak jauh dari laluan utama bas.
Lot kedai ada hampir 300, dan peniaga yang datang bekerja tidak semuanya menaiki motor seperti Jalal. Ramai juga yang membawa kereta kerana membawa barang-barang jualan. Maka sebahagian petak letak kereta sudah diisi peniaga sendiri.
“Tapi saya dengar cerita MBMB nak besarkan lagi tempat letak kereta. Tak tahulah bilanya.
“Kalau dulu di pasar dekat Melaka Sentral itu sekurang-kurangnya bas banyak, tempat letak kereta luas, orang senang nak datang. Sekarang sudah lah bas tak lalu sangat, kalau ada pun sejam sekali.
“Sekarang membeli pun tak macam dulu. Dulu RM50 mewah, macam-macam boleh dapat. Sekarang dua jenis barang sahaja sudah RM50, macam mana nak beli barang lain? Macam kita ni, saingan pun dah banyak, tempat ‘shopping’ dan pasaraya makin banyak dibuka. Sepatutnya pasaraya tak boleh jual barang basah, jual barang kering sahaja. Baru pasar boleh maju,” keluhnya.
Sudahlah bayaran sewa meningkat lebih RM50, malah fasiliti di pasar seperti laluan kereta yang sempit serta parit dan longkang yang kecil menyebabkan air sering kali tersumbat, menyebabkan peniaga bertambah kurang selesa dengan keadaan perniagaan mereka ketika ini.
Katanya, sudah ada beberapa peniaga yang tidak dapat lagi menahan cabaran akhirnya menutup sahaja kedai dan berhenti meniaga.
“Sekarang masyarakat bukan macam dulu. Orang tengok apa yang kita lakukan, orang lihat depan mata. Zaman sekarang dah ada ‘handset’.
“Bila seseorang jadi dipilih jadi pemimpin, dia kenalah turun padang, hari-hari kena tengok apa masalah masyarakat... baru ‘best’, baru orang suka. Orang cakap apa segala pun boleh tepis, tidak ada hal sebab pentadbiran betul buat kerja,” ujar Jalal.
Sambil berbual, sesekali dia menoleh ke meja jualan di belakangnya setiap kali terperasan ada pelanggan menghampiri.
“Meh kak, tenggiri kak, merah lagi insang ni.
"Tak terasa nak makan tenggiri lah,” jawab wanita pertengahan usia yang melintasi kedainya.
“Masak asam kak masak asam!,” Jalal memberi cadangan, namun hanya disambut senyuman wanita itu yang terus berlalu pergi.
Setiap selang beberapa ketika, tangannya menyusun atur beberapa ekor ikan tenggiri, parang dan cencaru yang masih belum memikat pelanggan yang semakin berkurangan menuju jam 2 petang itu. Tidak lama lagi mereka akan beransur seorang demi seorang menutup kedai dan pulang ke haluan masing-masing.
Kalau dahulu di pasar Jalan Tun Ali menurut Jalal, ada kalanya pasar ditutup jam 7 malam kerana pelanggan masih ramai. Namun segalanya sudah berubah, tidak seperti dahulu.
“Kalau macam ini, aku ingat nanti dah letih jual ikan aku nak jadi pelakonlah!,” kata berseloroh.
Mereka yang di sekeliling hanya tergelak, tersenyum dan menggelengkan kepala mendengar angan-angannya.
Begitulah kisahnya setiap hari di Pasar Besar Bachang.
Israr Khalid
Fri Apr 20 2018
Jalal ini wataknya memang ceria, suka bergurau, akhirnya menjadi seakan penghibur di sudut penjual ikan di pasar itu. - Foto Astro AWANI/ Israr Khalid
Bomba selamatkan empat individu terperangkap ketika memancing di Sitiawan
Pihak JBPM Perak mendapat maklumat mengenai insiden tersebut pada 1.13 pagi.
Data & Statistik: Perdagangan borong, runcit Malaysia melakar rekod baharu pada Oktober
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan runcit mendahului carta, meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion, manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.
TVET pacu ekonomi, jamin masa depan generasi muda
TVET diakui sebagai platform signifikan dan strategik dalam membekalkan belia dengan kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh industri.
AWANI Ringkas: Harimau Malaya tundukkan Timor Leste
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
[KRONOLOGI] Konflik Syria
Berikut adalah info berkenaan dengan kronologi Konflik di Syria.
#AWANIRingkas 12 Disember 2024 | 9 AM
Berikut merupakan rangkuman berita setakat 9 pagi, 12 Disember 2024
1️⃣ Situasi di Kelantan pulih, mangsa di Terengganu menurun
2️⃣ RUU Majlis Media dibentang hari ini
3️⃣ Harimau Malaya tundukkan Timor Leste
#awaniringkas
1️⃣ Situasi di Kelantan pulih, mangsa di Terengganu menurun
2️⃣ RUU Majlis Media dibentang hari ini
3️⃣ Harimau Malaya tundukkan Timor Leste
#awaniringkas
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang. #AWANInews
Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2. #AWANInews
Ahmad Zahid kekal bebas 40 kes rasuah VLN
Panel tiga hakim memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya memberitahu bahawa AGC menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.
Ringgit dibuka tinggi walaupun dolar Amerika mengukuh
Pada 8.11 pagi, ringgit naik kepada 4.4250/4355 berbanding dolar US daripada 4.4300/4355 ketika ditutup semalam.
Bagaimana Yan bangkit menjadi lokasi tumpuan pelancong?
Ini cerita dari daerah Yan, Kedah. Cerita tentang pembangunan produk pelancongan yang mesra alam.
Letih jual ikan, rasa nak jadi pelakon pula lah! - keluhan si penjual ikan
Barang makin hari makin mahal, pelanggan makin hari makin kurang, ikan makin hari makin tak laku. Sampai bila boleh 'hidup' dengan hanya menjual ikan kalau begini keadaannya?
Hanya jual laksa, Makcik Salmah berjaya buka peluang pekerjaan
Salmah berkata, bantuan pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan yang dimulakan sejak 18 tahun lalu itu.
Dengan situasi sekarang, kami tak boleh pulun lebih - Zunita
Ada yang menganggap pekan ini agak hulu sifatnya memandangkan jarang kita dapat dengar cerita tentang penduduk di sini.