KUALA LUMPUR : Insiden letupan paip gas yang berlaku di jajaran Long Ugui ke Long Sukang di Lawas dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan pihak ketiga berdekatan kawasan izin lalu (Right-of-Way) Saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP).

Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas dalam satu kenyataan pada Rabu, berkata kerja-kerja tersebut tidak mempunyai kaitan dengan operasi saluran paip milik syarikat itu.

"Laporan polis telah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.

"Petronas telah menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan ke kawasan insiden dan sedang  bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitar," kata kenyataan itu.

BACA: Letupan paip di Lawas: Seorang maut, tiga melecur

Terdahulu, satu letupan dilaporkan berlaku berhampiran KP 132 di Lawas.

Letupan telah menyebabkan api menjulang tinggi dan mengakibatkan seorang maut, manakala tiga lagi melecur.

Mangsa yang maut merupakan pemandu jentera jengkaut warganegara Indonesia, manakala tiga yang cedera adalah warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 2.10 petang.