Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan sebanyak empat juta pembayar cukai menggunakan e-Filing tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Mohd Shukor Mahfar.

Beliau berkata sebanyak 3.8 juta pembayar telah menggunakan e-Filing tahun lepas daripada jumlah keseluruhan enam juta pembayar cukai di negara ini.

"Diharap sasaran empat juta itu akan dapat dicapai berikutan kesedaran penggunaan e-Filing yang memudahkan urusan pencukaian di kalangan orang ramai kian meningkat pada masa ini.

"Tambahan juga pelbagai kemudahan disediakan menerusi aplikasi telefon pintar, ia menggalakkan pembayar cukai terutamanya generasi muda," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian satu seminar kepimpinan di sini pada Rabu.

Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Adat Melaka (Pertam) itu dirasmikan Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abd Rahman.

Kemudahan e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara elektronik melalui internet.

Sementara itu Mohd Shukor berkata semua pembayar cukai dinasihatkan supaya mengisytiharkan cukai pendapatan masing-masing menerusi e-Filing sebagai langkah mengelak kesesakan terutamanya pada tarikh akhir menghantar borang.

Beliau berkata tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada 30 April ini dan penalti akan dikenakan sekiranya mereka gagal mengisi borang selepas tarikh tersebut," katanya.