CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh masa penguatkuasaan sistem invois elektronik (e-invois) yang dijadual dijalankan sepenuhnya pada 1 Julai 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata syarikat yang mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta akan melaksanakan sistem berkenaan mulai 1 Ogos ini.

Manakala bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata syarikat berkenaan mempunyai tempoh lebih kurang setahun lagi untuk terlibat dalam sistem berkenaan.

"Di pihak LHDN kita akan sediakan segala kemudahan bagi membantu pengusaha kecil, antaranya kita ada portal percuma untuk mereka.

"Apa yang penting untuk kita beri pendidikan bagaimana mereka boleh menggunakan kemudahan yang ada ini. LHDN akan ambil masa setahun ini untuk berjumpa dengan semua peniaga kecil bagi menerangkan bagaimana mereka boleh turut serta dalam program ini (e-invois).

"Ketika ini kita tidak ada lagi cadangan untuk memberi lanjutan masa tetapi lebih untuk memberi pendidikan dan pendedahan kepada mereka (PKS) bagaimana mereka turut serta dalam e-invois ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Raya LHDN 2024: Gema Lebaran Aidilfitri di sini pada Selasa.

Jelas Abu Tariq, pelbagai program telah dirancang menerusi pejabat LHDN di seluruh negara bagi membantu pembayar cukai dan pengusaha yang ingin mengemukakan e-invois.

Terdahulu, LHDN memaklumkan syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan projek rintis e-invois boleh mula mengakses persekitaran pengujian (Sandbox) MyInvois bermula 10 April.

Inisiatif e-invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

Sebanyak 4,000 syarikat yang memperoleh pendapatan melebihi RM100 juta setahun disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terbabit dalam pelaksanaan e-invois yang dilaksanakan mulai 1 Ogos ini.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta, akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Januari 2025, dengan penguatkuasaan penuh pada 1 Julai 2025.